Polis terima laporan pemandu bergaduh di lebuh raya

Polis terima laporan pemandu bergaduh di lebuh raya

am@hmetro.com.my

Muar: Polis mengesahkan video tular pergaduhan membabitkan pengguna jalan raya, termasuk ada yang dilihat menggunakan tongkat kayu, berlaku di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Pagoh hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya turut menerima laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Pagoh pada 1.58 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian dipercayai membabitkan warga asing dan rakyat tempatan, dengan satu video berdurasi 54 saat menunjukkan insiden itu dikesan dimuat naik di media sosial.

“Polis akan mengeluarkan kenyataan media sebaik fakta lengkap diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan video terbabit, insiden berlaku ketika lebuh raya sesak, membabitkan lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer dengan pemandu Toyota Innova dipercayai warga tempatan.

Pemandu Mitsubishi dilihat cuba melanggar seorang lelaki sebelum keluar dari kenderaan sambil membawa tongkat kayu dan memukul pemandu Toyota Innova.

Bagaimanapun, pergaduhan dileraikan pengguna jalan raya lain yang kebetulan berada di lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top