Pergerakan lori bongkar kegiatan penyelewengan LPG

Pergerakan lori bongkar kegiatan penyelewengan LPG

Segamat: Pergerakan keluar masuk lori membawa gas petroleum cecair (LPG) ke sebuah bangunan dalam hutan di Lebuhraya Segamat ke Kuantan, di sini, membongkar kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi itu.

Ia hasil risikan selama tiga bulan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Segamat sebelum serbuan dilakukan 10 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya menyerbu bangunan di laluan kebun sawit yang dijadikan markas pemindahan LPG.

“Ini rampasan terbesar tahun ini di Johor bernilai RM292,060.

“Pasukan penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Segamat berjaya mengesan premis mencurigakan itu berikutan selang dua hari lori membawa LPG keluar masuk ke kawasan itu.

“Lokasi itu terletak 30 kilometer dari bandar Segamat dan terpencil.

“Ketika serbuan, tujuh lelaki warga asing berusia 20 hingga 30 tahun selain seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun disyaki pemilik ditahan.

“Siasatan mendapati bekalan LPG itu dipercayai diperoleh daripada syarikat pembekal berlesen di Lembah Klang dan diedarkan semula ke Lembah Klang selepas pemindahan gas dilakukan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

“KPDNHEP turut menyita sebuah lori bermuatan 900 tong gas berisi 14 kilogram (kg) LPG di laluan Segamat ke Kuantan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613) AMLATFPUAA 2001.

Scroll to Top