Nga mahu individu hantar nota ugutan ditangkap segera

Nga mahu individu hantar nota ugutan ditangkap segera

am@hmetro.com.my

Manjung: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berharap individu yang menghantar nota ugutan di rumah ibu bapanya akan segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau menyifatkan kejadian yang menimpa keluarganya sebagai suatu ‘trend’ amat berbahaya selepas kejadian rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dilempar ‘molotov cocktail’, Januari lalu.

“Saya memang berasa risau, saya lihat ia sebagai satu trend amat berbahaya khusus ada cubaan membunuh Datuk Ngeh, dua bulan lalu.

“Sekarang dia ugut ibu bapa saya pula. Bapa saya dah berusia 86 tahun dan tak boleh berjalan dengan sempurna. Sekiranya jadi apa-apa, saya memang risau dan khuatir.

“Kita harap siapa-siapa yang menyalahi undang-undang dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan supaya kita hantar satu mesej bahawa negara ini ada rukunnya.

“Rukunnya adalah kedaulatan undang-undang,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Makan Malam Kutipan Derma Wisma Demokrasi di sini, malam ini.

Semalam, media melaporkan rumah ibu bapa kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu di Jalan Ling Sing Hang dekat Ayer Tawar, di sini ditaburi kertas berunsur ugutan bertulis ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP mengingatkan semua pihak agar tidak melampaui batas dalam berpolitik.

“Saya nak tegaskan isu politik adalah politik, ia ada had dan batasannya.

“Kita boleh bertikam lidah, boleh berbeza pendapat, tetapi sebarang bentuk kekerasan serta keganasan tiada kompromi.

“Pagi tadi saya sudah berjumpa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan beliau memberi jaminan pihak polis akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Nga turut memaklumkan pihak polis sudah memasang khemah pengawasan berhampiran kediaman ibu bapanya sebagai langkah keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top