khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pakatan Harapan (PH) berhasrat meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara ini bagi penggal kedua pada masa akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini disebabkan Anwar yang kini memimpin negara masih lagi sihat.
“Dari segi kesihatan, beliau jauh lebih baik daripada saya. Kecuali kecederaan bahu dia sedikit (dan) pinggang. Yang lain perfect (sempurna), ‘tip top’ kesihatannya.
“Sekarang dia (Anwar) memimpin satu penggal. Insya-Allah sekarang sudah ada clarity (kejelasan) saya fikir. Memasuki penggal yang kedua, itu idaman kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam podcast, Keluar Sekejap yang dikendalikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.
Khairy sebelum itu bertanyakan kepada Saifuddin adakah pihaknya mengharapkan penggal pemerintahan kedua buat Anwar sebagai Perdana Menteri.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memaklumkan partinya masih belum membuat keputusan untuk bersama dengan Umno bertanding sebagai satu pasukan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Bagaimanapun katanya, idea ke arah itu sudah diketengahkan dan beberapa siri pertemuan juga dilakukan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerjasama bertanding bersama Umno sebagai satu pasukan dalam PRU-16 nanti berkemungkinan akan berlaku.
“Apakah kita sudah ada ketetapan (bertanding sebagai satu pasukan dalam PRU-16)? Belum. Mungkinkah kita ke arah itu? Boleh jadi. Kita kena akses semua keadaan pada ketika itu,” katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah mahukan kerjasama kukuh membabitkan BN dan PH diteruskan selepas PRU-16.
© New Straits Times Press (M) Bhd




