KUALA LUMPUR: Walaupun rindu untuk bermain hoki, pemain kebangsaan Joel van Huizen berhasrat mendengar nasihat pakar perubatan sebelum memutuskan masa depannya.
Pemain berusia 29 tahun itu yang pengsan ketika Maybank mencatat kemenangan 5-1 ke atas TNB Thunderbolts pada perlawanan pembukaan skuad Tigers dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021, digegaskan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan kini menunggu laporan penilaian pakar di Institut Jantung Negara.
“Saya okey sekarang, kesihatan saya baik. Buat masa ini saya cuma perlu hadiri janji temu susulan dengan doktor dan tunggu nasihat mereka tentang langkah seterusnya yang perlu saya ambil.
“Buat masa ini doktor nasihatkan agar saya tidak menyertai sebarang acara sukan kompetitif sehingga janji temu susulan yang seterusnya. Kita tengoklah nanti apa doktor kata,” katanya ketika dihubungi.
Ini bukan kali pertama pemain tengah itu pengsan semasa perlawanan. Insiden serupa berlaku ketika beliau mewakili negara dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh pada 2017.
Joel adalah generasi ketiga dalam keluarga van Huizen yang menyarung jersi kebangsaan. Bapanya Stephen dan datuk, mendiang Lawrence, masing-masing mewakili negara ke Olimpik selain berkhidmat sebagai jurulatih kebangsaan.
Stephen yang bermain dalam Piala Dunia Mumbai 1981 serta Olimpik Los Angeles 1984, berkata terpulang kepada Joel untuk menentukan masa depannya berasaskan syor daripada doktor, dan sebagai keluarga, mereka akan menerima apa sahaja keputusan Joel.
“Selepas insiden pada 2017 itu, Joel tidak dibenarkan bermain selama enam bulan. Dia mengalami situasi yang mana jantungnya berdegup lebih pantas (berbanding jantung normal).
Joel kembali bermain selepas dibenarkan oleh doktor dan tidak mengalami sebarang masalah selama empat tahun dengan pengambilan ubat bagi memperlahankan degupan jantungnya.
“Buat masa ini kami tidak mahu buat spekulasi, kita dengar dulu apa kata doktor. Saya rasa, sekarang lebih mudah untuknya menerima keputusan itu (jika perlu bersara daripada hoki) berbanding empat atau lima tahun lepas kerana dia baru melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup.
“Dia baru memulakan kariernya selepas mendapat pekerjaan di sebuah syarikat swasta, dan sebagai pemain dia juga banyak mencipta kejayaan seperti menang pingat perak pada Sukan Asia 2018, pingat emas Sukan SEA 2017 serta bermain pada Piala Dunia 2018 dan Sukan Komanwel,” kata Stephen.
Sementara itu, jurulatih Maybank Azrul Effendy Bistamam mengesahkan pemain tengah itu tidak akan bermain dalam perlawanan seterusnya sepanjang musim ini kerana mereka tidak mahu memperjudikan kesihatan Joel.
“Kita perlu akur nasihat doktor dan beliau juga tidak mahu mengambil sebarang risiko selepas apa yang berlaku. Saya tidak pasti jika beliau akan bersara daripada hoki, apa yang saya pasti ialah mungkin sukar baginya untuk bermain secara kompetitif. Apapun, terserah kepada beliau,” kata Azrul Effendy.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




