sukan@hmetro.com.my.
Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia yang akan berangkat ke temasya Olimpik Paris 2024 tidak perlu gusar berhubung pergolakan politik yang sedang berlaku di Perancis ketika ini.
Ketua kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau mendapatkan jaminan bahawa pihak keselamatan negara itu akan bekerjasama dengan Malaysia bagi memastikan atlet serta pegawai berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh itu, Hamidin berharap mereka yang terbabit secara langsung dengan temasya Olimpik itu tidak melakukan sebarang pergerakan bebas dari perkampungan sukan.
“Dari segi politik, ada komitmen daripada kerajaan tentang keselamatan. Saya juga yakin semua atlet, jurulatih dan pegawai yang ada dalam perkampungan sukan akan dikawal ketat oleh pihak keselamatan.
“Mereka akan mengawal sepenuhnya tempat latihan dan venue pertandingan. Atlet tidak boleh keluar dari perkampungan sukan dan saya harap tidak ada perkara tidak diingini berlaku,” katanya selepas majlis Penajaan Samsonite untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024, hari ini.
Turut hadir sama adalah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib pada majlis berkenaan.
Terdahulu, timbul persoalan berkenaan isu keselamatan di Paris apabila pergolakan politik di Perancis dikatakan meningkat dek kerana parlimen tergantung selepas berlangsungnya pilihan raya tergempar.
Ketika ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga masih belum memberikan jawapan berhubung peletakan jawatan Perdana Menteri, Gabriel Attal meskipun gabungan sayap kiri sudah mendesak supaya menamakan calon bagi menggantikan Attal.
Selain itu, Hamidin berharap 26 atlet negara yang akan bersaing di Paris 2024 menjaga kesihatan dan berhati-hati dalam latihan bagi mengelak kecederaan menjelang memandangkan temasya itu semakin hampir membuka tirainya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




