Peluang lakar sejarah di luar England – Southgate

Peluang lakar sejarah di luar England – Southgate

Dortmund: Pengurus England, Gareth Southgate percaya pasukannya semakin hampir melangkah ke pentas final pertama di luar negara dalam Euro 2024 selepas mengalami kesukaran menangani harapan tinggi penyokong di kejohanan itu.

Pasukan Three Lions tiba di Jerman sebagai salah satu calon juara selepas mereka mempamerkan peningkatan sepanjang di bawah bimbingan Southgate.

England mara ke separuh akhir kali ketiga dalam empat kejohanan di mana mereka akan berhadapan dengan Belanda di Dortmund, awal pagi Khamis ini.

Mereka belum pernah melangkah ke pentas final di luar England atau memenangi Kejuaraan Eropah sebelum ini.

Skuad bimbingan Southgate telah dikritik hebat berikutan prestasi hambar di Euro 2024, di mana mereka hanya memenangi satu daripada lima perlawanan dalam tempoh 90 minit permainan.

Bagaimanapun Southgate berkata, barisan pemainnya mula menunjukkan kemampuan mereka ketika menewaskan Switzerland menerusi penentuan penalti di suku akhir.

“Salah satu kekuatan kami sepanjang lapan tahun terakhir ini adalah kurang berasa takut tetapi pada permulaan setiap kejohanan harapan tinggi itu agak membebankan.

“Sekarang adalah masa untuk mencipta sejarah buat kali pertama mara ke final yang tidak berlangsung di England.

“Kami akan cuba mencapai impian itu dan ia sememangnya sukar tetapi barisan pemain menunjukkan reaksi yang bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top