Vinicius mohon maaf gagal bantu Brazil

Vinicius mohon maaf gagal bantu Brazil

Brasilia: Penyerang Brazil, Vinicius Jr memohon maaf kepada penyokong mereka selepas dia tidak dapat beraksi ketika pasukannya tersingkir di suku akhir Copa America kerana memenuhi hukuman penggantungan.

Pemain sayap Real Madrid berusia 23 tahun itu digantung perlawanan kerana menerima kad kuning kedua dan hanya menonton dari tempat duduk penonton ketika Brazil tewas kepada juara 15 kali, Uruguay 4-2 dalam penentuan penalti selepas keputusan seri tanpa jaringan, lalu.

Brazil gagal menunjukkan prestasi cemerlang di Copa, seri dua kali dalam peringkat kumpulan dan hanya menewaskan Paraguay.

Ini kali kedua berturut Brazil tersingkir di suku akhir dalam kejohanan utama selepas mereka tewas kepada Croatia menerusi penentuan penalti di Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Copa America sudah berakhir dan sekarang masa untuk merenung kembali, untuk tahu bagaimana menangani kekalahan.

“Perasaan kecewa menguasai lagi. Sekali lagi menerusi penalti,” tulis Vinicius di Instagram.

“Saya gagal mengelak daripada dilayangkan kad kuning kedua. Saya menyaksikan pasukan tersingkir ketika di tepi padang.

“Tetapi kali ini, ia salah saya. Saya mohon maaf. Saya mula memahami segala kritikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top