norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pengalaman 11 tahun menunggu rezeki zuriat membuatkan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, sudi menaja kira-kira 20 pasangan yang layak untuk mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) bagi memiliki cahaya mata.
Terdahulu, hasrat murni untuk membantu itu diluahkan Siti menerusi perkongsian video dimuatnaik akaun di TikTok miliknya yang menawarkan tajaan kepada pasangan suami isteri sudah lama berkahwin, namun belum mempunyai anak.
“Assalamualaikum, saya ingin berkongsi berita gembira kepada semua pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan masih berusaha mendapatkan cahaya mata.
“Kalian kini boleh memohon dalam program IVF Nurjiwa: Sempurnakan Sebuah Cinta dengan hanya penuhi kriteria diperlukan. Permohonan terhad kepada 20 pasangan saja.
“Selamat mencuba dan semoga impian anda semua jadi kenyataan,” ujarnya yang mendapat pujian netizen di media sosial kerana berbesar hati membantu pasangan suami isteri yang mengimpikan cahaya mata.
Menurut Siti, peluang yang terbuka kepada orang ramai menerusi Yayasan Nurjiwa itu hanya memerlukan pasangan suami isteri mendaftar di platform badan amal terbabit untuk melalui tapisan awal yang akan dilakukan.
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen menyifatkan Siti seorang individu berjaya dan terkenal yang peka dengan impian orang lain, terutama pasangan suami isteri yang berhasrat memiliki anak.
“Terima kasih TokTi sudi berkongsi rezeki dengan kami yang kurang berkemampuan ini, IVF bukan murah,” tulis netizen.
“Selain berbakat, Siti ini sentiasa rendah diri dan suka membantu golongan kurang bernasib baik, moga Allah kurniakan syurga buatmu,” komen seorang warganet.
“Awak memang insan berhati mulia TokTi, suka membantu dengan cara sendiri,” kata seorang pengikutnya di media sosial.
Siti mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan mereka dikurniakan anak sulung, Siti Aafiyah, 6, pada 19 Mac 2018 selepas menjalani rawatan IVF.
Pada 19 April 2021, Siti melahirkan cahaya mata keduanya, Muhammad Afwa, 3, yang juga menerusi kaedah rawatan IVF yang dijalaninya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




