rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada rakyat Malaysia terbabit insiden sebuah pesawat domestik terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) di Kathmandu, Nepal, yang mengorbankan 22 orang hari ini.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan melaporkan, kementerian melalui Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal sedang memantau dengan teliti kesan susulan kemalangan udara membabitkan pesawat Bombardier CRJ-200 milik Saurya Air dengan nombor pendaftaran 9N-AME.
“Laporan terkini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit atau terjejas insiden itu.
“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati serta mengikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit kemalangan berkenaan.
Kementerian Luar akan terus memantau situasi dan memberikan kemas kini jika perlu.
Mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Embassy of Malaysia, Bakhundole-3, Lalitpur Kathmandu, Nepal atau menerusi talian +97715445680/681 (umum) atau +977-9801008000 (kecemasan sahaja) atau emel di mwkathmandu@kln.gov.my.
Terdahulu, AFP melaporkan sebuah pesawat penumpang terhempas ketika berlepas di Kathmandu dengan juruterbang diselamatkan daripada serpihan yang terbakar, tetapi kesemua 18 yang lain terbunuh.
Nepal mempunyai rekod prestasi yang menyedihkan dalam keselamatan penerbangan dan negara itu menyaksikan siri nahas pesawat ringan dan helikopter selama beberapa dekad.
Penerbangan Saurya Airlines itu membawa dua anak kapal dan 17 kakitangan syarikat itu, kata jurucakap polis Nepal, Dan Bahadur Karki kepada AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd
