am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang pesara dihambat kesedihan apabila kehilangan anak kesayangan, Amir Aizat, 29, akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), 3 Julai lalu.
Zulkifli Subuh, 53, dari Taman Syahbandar Ampangan di sini, berkata, nahas berlaku ketika Amir yang juga anak kedua daripada tiga beradik menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya di Putra Heights Subang Jaya, Selangor ke tempat kerja di ibu negara.
“Berdasarkan laporan, motosikal ditunggang Amir dikatakan terlanggar jentolak yang bergerak perlahan ketika dia cuba memintas jentera berat berkenaan sekitar jam 8 pagi.
“Akibat tragedi itu anak saya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Tragedi itu sukar dilupakan berikutan Amir anak lelaki tunggal dalam keluarga kami. Dia yang bekerja di sebuah syarikat di ibu negara adalah lulusan Ijazah Komputer Sains (Multimedia).
“Kami reda dengan takdir itu kerana ia ketentuan Ilahi walaupun kehilangan anak kesayangan.
“Namun apa yang menimbulkan persoalan bagaimana jentera jentolak boleh berada di Lebuh Raya KESAS pada awal pagi ketika jalan sesak dengan pelbagai kenderaan,” katanya di sini, semalam.
Zulkifli berkata, beliau musykil sama ada terdapat keperluan memasang papan tanda atau notis mengenai larangan kenderaan berat memasuki Lebuhraya KESAS pada waktu kemuncak.
Beliau berpandangan bahawa satu peraturan harus dilaksanakan pihak berwajib membabitkan kenderaan berat di mana-mana lebuh raya sama ada di kawasan luar bandar mahu pun bandar sebagai langkah keselamatan pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd
