Reuters
Paris: Atlet ping pong mewakili Chile, Zeng Zhiying membuat penampilan sulungnya di Sukan Olimpik di Paris namun perjalanannya di temasya berkenaan tidak kekal lama.
Zhiying,58, kecundang di pusingan kelayakan selepas tewas 4-1 di tangan pemain dari Lebanon berusia 46 tahun, Mariana Sahakian.
“Saya benar-benar mahukan kemenangan tetapi prestasi saya masih di tahap sama.
“Saya cuba mengganggu lawan tetapi dia sama sekali tidak terjejas,” kata Zhiying.
Dengan penampilannya di Olimpik hanya kurang daripada 24 jam, Zhiying berkata, dia akan terus kekal aktif dalam sukan berkenaan.
Zhiying adalah sebahagian daripada pasukan kebangsaan China sebelum ini, turut gembira kerana dapat bertemu bekas rakan sepasukannya, Ni Xialian, 61, yang kini mewakili Luxembourg.
Zhiying yang menetap di Chile sejak berdekad lalu sedar yang penampilannya ini mungkin yang terakhir buat dirinya tetapi sama sekali tidak akan ‘bersara’ dari menyertai kejohanan lain.
“Untuk bersaing semula di Olimpik bagi empat tahun lagi mungkin sangat sukar,” katanya. “Selagi badan saya tidak cedera, saya akan terus bermain.
“Walaupun saya mungkin tidak akan beraksi di peringkat ini lagi, saya masih boleh bermain di tahap Masters.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



