GUA MUSANG: Setiuasaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan tindakan parti itu memberi restu kepada Mohd. Rizwadi Ismail menyertai Parti pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seterusnya menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diumpamakan sebagai kakak menolong adik.
Beliau berkata, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana tindakan Mohd. Rizwadi mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti selain hubungan Pas dengan Bersatu seperti kakak dengan adik.
“Situasi yang berlaku apabila si adik (Bersatu) mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta anak daripada kakaknya (Pas) untuk membantu.
“Manakala bagi pihak kakak (PAS), sudah tentu dia akan membantu apabila adiknya meminta pertolongan. Situasi ini lah yang berlaku di PRK Nenggiri dimana adik beradik saling tolong menolong dan ianya tidak perlu dijadikan isu,” katanya semasa menyampaikan ceramah di Kampung Bertam Lama, di sini, malam yang turut dihadiri, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Takiyuddin memberitahu, pihak tertentu sengaja memainkan isu calon memandangkan tiada isu lain yang boleh dibangkitkan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pada PRK itu nanti BN akan diwakili oleh Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon.
Sebelum itu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.- UTUSAN




