am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap pemandu treler yang merempuh rumah hingga menyebabkan kematian dua beradik di Kilometer 5, Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dua siasatan itu
mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Setakat ini pemandu treler masih direman sehingga esok dan kita masih melengkapkan siasatan dan sebaik ia lengkap, kita akan tuduh pemandu treler terbabit,” katanya.
Yahaya berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.
Reman empat hari pemandu berusia 40 tahun itu bermula Ahad lalu hingga esok.
Dalam kejadian 4.15 pagi, Sabtu lalu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh rumah berkenaan.
Kemalangan itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi, manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Ibu bapa mangsa, Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah cedera.
© New Straits Times Press (M) Bhd



