Paris: Penerjun berpengalaman wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mengaku bahawa belum bersedia menggalas cabaran negara pada penampilan ketiga di Olimpik.
Penerjun berusia 25 tahun itu mendedahkan bahawa perjalanannya ke Sukan Olimpik Paris 2024 kurang lancar kerana terpaksa mengejar masa untuk memperbaiki kemahiran dan teknik dalam tempoh sebulan.
Dhabitah yang menamatkan episod Paris 2024 dengan menduduki tangga tercorot final tiga meter (m) papan anjal di Pusat Akuatik Olimpik di sini selepas bersaing dalam kuota yang tidak digunakan berkata, dia sebenarnya tidak bersedia sepenuhnya untuk cabaran di peringkat Olimpik.
Penampilan ketiga selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020, dia dipilih untuk mengisi satu slot tambahan diberikan oleh Akuatik Dunia kepada Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi beraksi di Paris pada lewat Jun.
Katanya, dia hampir mengucapkan selamat tinggal kepada temasya itu selepas gagal melayakkan diri ke Paris 2024 semasa kelayakan terakhir – Kejohanan Dunia 2024 di Doha, Qatar, Februari lalu.
Dhabitah mengakui bahawa ia adalah fasa yang mencabar untuk dirinya susulan tidak mempunyai latihan pertandingan yang betul sehingga dipilih mengisi kuota acara 3m papan anjal oleh MAS.
“Pada masa itu, saya rasa seperti tidak mahu meneruskan lagi (terjun), secara ikhlas, saya penat, saya perlu menghadapi segala-galanya.
“Kemudian selepas itu semasa kem latihan selama dua minggu, saya cuba untuk memberikan yang terbaik…banyak masalah teknikal yang saya kena betulkan sebab teknik saya sudah hilang. Bagi mengembalikan perasaan dan gaya rentak, ia cukup sukar.
“Dengan masa yang singkat, apa yang anda jangkakan (dalam acara semalam) tetapi saya amat berpuas hati dengan keputusan ini kerana tahu tidak banyak melakukan persediaan. Saya tidak menjangkakan untuk berada di peringkat akhir ,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, pemenang lima pingat Sukan Asia itu hanya mampu mencatatkan keseluruhan 244.80 mata untuk menduduki tempat ke-12 selepas lima terjunan di final, manakala penerjun China Chen Yiwen membawa pulang emas dengan 376.00 mata.
Dhabitah berkata, walaupun dia seorang penerjun berpengalaman tetapi perubahan pada tubuh, pengalaman dan teknik membuatkan sukar untuknya kembali semula ke peringkat teratas.
Dalam pada itu, dia berterima kasih atas sokongan yang diterima daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih sehingga dapat melepasi peringkat awal dan mara ke separuh akhir.
“Selepas pulang, saya mahu berehat dahulu, saya perlukan masa untuk diri sendiri…Saya rasa saya terlalu menekankan diri…tidak cukup menghargai diri sendiri…saya rasa badan dan minda saya perlukan rehat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




