mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuching: Sarawak memberi amaran bahawa mereka juga jaguh dalam sukan tempur apabila menyambar dua pingat emas pada hari pertama taekwondo membuka gelanggang di Sukan Malaysia (Sukma), sebentar tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini, gandingan Fedealis Kom Twin, Mohd Isshahril Mazlan dan Randy Owen Augustine Linggi mempamerkan aksi memukau dalam acara poomsae sekali gus berjaya menarik perhatian juri untuk memperoleh mata tertinggi 8.01 mata.
Wakil tuan rumah yang kali pertama bergandingan itu mendapat sokongan padu daripada penyokong sekali gus tidak berhadapan masalah untuk mempamerkan gerakan mantap dalam poomsae.
Sementara itu, Randy Owen yang juga atlet kebangsaan mengakui sorakan padu daripada penyokong membantunya bersama rakan mempamerkan aksi terbaik untuk memenangi emas pada temasya kali ini.
“Ini adalah hadiah cukup berharga buat kami atas segala pengorbanan termasuklah menjalani latihan intensif di luar negara.
“Kami harap dengan kemenangan ini mampu pergi lebih jauh dengan mewakili negara di pentas Sukan Sea kelak,” katanya.
Atlet Wilayah Persekutuan Chee Bo Qin, Dixon Loh dan Tan Vee Liam terpaksa akur di tempat kedua selepas memunggut 7.65 mata manakala peserta Perak Choong Jian Xian, Choe Ming Feng dan Riky Chong mencatatkan 7.35 mata untuk gangsa.
Sementara itu, pasukan wanita tuan rumah turut menyumbang emas menerusi trio Farah Nabilla Maddarus, Siti Yusriyyah Zailani dan Willemien Lai Lin dengan 7.70 mata.
Johor yang dibarisi Ling Lau You, Lim Xin Zi dan Yong Si Ting meraih perak dengan 7.54 mata diikuti Yow Mei Xin, Loh Wai Yee dan Soo Wei Shan dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa dengan 7.29 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




