Operasi SAR mangsa tanah jerlus di Masjid India ditangguh akibat hujan lebat

Operasi SAR mangsa tanah jerlus di Masjid India ditangguh akibat hujan lebat

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India di sini, hari ini, ditangguhkan sementara pada 7.30 malam berikutan hujan lebat di kawasan kejadian.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, operasi pencarian itu akan bersambung pada esok hari.

“Pada hari ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memfokuskan kerja pencarian di kawasan akhir iaitu loji Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Pantai Dalam.

“Hasil daripada pencarian itu adalah negatif,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan lagi, pasukan SAR juga bertindak memecahkan dinding atas lurang kumbahan di lokasi kejadian untuk mendapatkan jarak penglihatan yang lebih jelas dalam lurang kumbahan berkenaan.

“Pencarian melalui kaedah ‘Ground Penetrating Radar’ (GPR) atau radar penembus tanah turut dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di kawasan sekitar Masjid India digunakan untuk menilai keadaan tanah.

“Sementara kaedah GPR yang sama oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) digunakan di sekitar kawasan lubang benam,” katanya.

Selain itu, katanya, JMG juga melakukan pemantauan bermula dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan masjid membabitkan kawasan seluas 65 meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top