IPOH: Kakitangan Maybank cawangan Bercham telah mengadakan piket petang tadi atas alasan untuk menuntut keadilan bagi mangsa gangguan seksual.
Piket yang diketuai oleh Persatuan Kakitangan Pekerja Bank (NUBE) itu disertai oleh majoriti kakitangan bank cawangan tersebut yang menuntut keadilan untuk kakitangan yang menjadi mangsa.

Para peserta piket membawa sepanduk dan kad yang mengkritik pihak pengurusan termasuk di ibu pejabat yang dikatakan bersikap sambil lewa dengan kebajikan pekerja.
Berdasarkan kenyataan NUBE yang diedarkan, petugas tersebut telah diganggu secara seksual oleh penyelianya sejak tiga tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan itu, ini termasuk menyalah guna kuasa dengan menghantar mesej jelek melalui whatsapp termasuk disertai dengan buli dan ancaman apabila mangsa mengadu.
NUBE mendakwa selepas mereka mendedahkan isu itu, tiada tindakan diambil sebaliknya mangsa telah diberikan tekanan dan digantung kerja dan pelaku tidak dihukum.




