Kota Bharu: McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat korporat berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam usaha memperluas manfaat zakat kepada komuniti serta golongan yang memerlukan di negeri ini.
Terdahulu, penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Pengarah, Pematuhan & Kerjasama Institusi McDonald’s Malaysia, Ahmad Shihafuddin Mustapha kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Kelantan dan Sumbangan kepada Asnaf di McDonald’s Pandu-Lalu Pengkalan Chepa.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 80 Kotak Rezeki telah disampaikan kepada keluarga asnaf, daripada keseluruhan 100 kotak yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Sebanyak 20 Kotak Rezeki lagi telah diagihkan lebih awal kepada keluarga asnaf menerusi Program Santuni Asnaf yang dilaksanakan sebelum majlis berkenaan.
Pada masa sama, menerusi wakalah zakat syarikat, McDonald’s Malaysia juga menyumbangkan komputer riba bernilai lebih RM50,000 kepada 15 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) daripada golongan kurang berkemampuan.
Selain bantuan kepada golongan asnaf dan pelajar, pihak McDonald’s Malaysia turut menyantuni komuniti setempat dengan menyediakan hampir 2,000 hidangan percuma kepada orang ramai di tiga restoran, iaitu McDonald’s Pengkalan Chepa, McDonald’s Kok Lanas dan McDonald’s Kuala Krai.
Mengulas mengenai usaha tersebut, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan manfaat zakat disalurkan secara lebih dekat dan bersasar kepada komuniti.
“Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, pembayaran zakat adalah amanah yang kami tunaikan setiap tahun.
“Namun, bagi kami, tanggungjawab itu tidak terhenti pada pembayaran zakat semata-mata kerana menerusi wakalah zakat, kami berpeluang menyalurkan bantuan secara lebih dekat kepada komuniti berdasarkan keperluan mereka, sama ada dalam bentuk makanan, keperluan harian mahupun sokongan kepada golongan muda,” katanya.
Katanya, inisiatif itu juga menjadi wadah untuk syarikat berkongsi rezeki serta menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang terus menyokong McDonald’s Malaysia.
“Kami berharap setiap sumbangan yang disalurkan dapat memberi manfaat yang praktikal dan bermakna kepada penerimanya,” katanya.
Tambah beliau, sejak menjadi syarikat milik penuh orang Islam pada 2017, McDonald’s Malaysia telah menyalurkan lebih RM14 juta dalam bentuk zakat kepada pusat zakat negeri di seluruh Malaysia.
“Bagi Kelantan pula, jumlah keseluruhan zakat yang telah ditunaikan oleh McDonald’s Malaysia sehingga tahun ini melebihi RM1 juta.
“Inisiatif terbabit adalah sebahagian daripada komitmen berterusan McDonald’s Malaysia sebagai jiran prihatin kepada komuniti di sekitar lebih 370 restorannya di seluruh negara,” katanya.
Azmir berkata, setiap tahun, McDonald’s Malaysia melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan, termasuk menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, menyediakan moreh untuk masjid dan surau serta menyantuni warga emas di pusat jagaan, khususnya ketika musim perayaan.
“Kelantan menjadi lokasi pertama bagi inisiatif pembayaran zakat korporat McDonald’s Malaysia pada 2026 sebelum usaha berkenaan diteruskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara bagi menunaikan zakat serta menyampaikan bantuan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Anis berkata, MAIK menghargai komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan zakat dan membantu golongan yang memerlukan.
“Kami menghargai komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan zakat.
“Pendekatan melalui wakalah zakat membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dalam aspek kebajikan, makanan dan pendidikan, sekali gus melengkapi usaha MAIK untuk memperluas manfaat zakat kepada komuniti di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, selain bayaran zakat yang disempurnakan hari ini, McDonald’s Malaysia dengan kerjasama MAIK turut menyalurkan Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian serta sumbangan wakalah dalam bentuk wang kepada beberapa keluarga asnaf di sekitar Kota Bharu.
“Sumbangan yang diberikan ini disifatkan sebagai bantuan segera bagi meringankan beban golongan terbabit dalam memenuhi keperluan harian mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




