SEREMBAN – Pengundi di Negeri Sembilan hari ini akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Seramai 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos bakal menentukan gabungan politik yang akan diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan selepas tempoh berkempen selama 14 hari berakhir tepat tengah malam tadi.
Proses pengundian akan bermula pada 8 pagi secara serentak di 401 pusat mengundi di seluruh negeri membabitkan 1,668 saluran sebelum ditutup sepenuhnya pada 6 petang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 dan 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam manakala keputusan penuh diperoleh sebelum tengah malam.
Pada Selasa lepas, pengundian awal menyaksikan sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal membabitkan anggota tentera dan polis serta pasangan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di hampir seluruh kawasan di Negeri Sembilan membabitkan daerah Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Port Dickson dan Rembau dijangka cerah sepanjang pagi hingga tengah hari manakala pada sebelah petang, kebanyakan kawasan di hampir semua daerah dijangka mengalami hujan lebat serta ribut petir.
Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.
Pakatan Harapan (PH) mendominasi saingan dengan menampilkan 36 calon diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24) dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.
Turut bertanding Berjasa, ASLI dan Parti Sosialis Malaysia yang masing-masing menampilkan seorang wakil, selain empat calon Bebas.
Pada PRN kali ini, sebanyak 22 DUN berdepan saingan tiga penjuru, 11 DUN lagi dengan pertandingan satu lawan satu, dan masing-masing dua DUN menyaksikan perebutan empat dan lima penjuru.
Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima). – Bernama



