PN umum nama calon seminggu lebih awal – Azmin

PN umum nama calon seminggu lebih awal – Azmin

KLUANG: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diumumkan seminggu lebih awal sebelum hari penamaan calon.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi membolehkan calon PN turun padang lebih awal bagi menyantuni seberapa ramai pengundi di DUN Mahkota.

“Setakat ini ada tiga nama yang sudah dihantar kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas,” katanya ditemui selepas mendengar taklimat persiapan PRK DUN Mahkota di Bilik Gerakan utama PN di Kampung Melayu, di sini hari ini.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal pada 14 Ogos lalu memaklumkan menyerahkan senarai tiga nama calon untuk PRK DUN Mahkota kepada pucuk pimpinan parti dan kesemua mereka merupakan anak tempatan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, Bersatu tidak gerun walaupun ketika ini hanya ada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dalam DUN Johor.

“Kita mahu bawakan isu-isu seperti masalah ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi. Kita mahu suara lebih kuat dan bawa mandat di DUN Johor. Apa yang penting dapat bawa mandat rakyat Mahkota,” katanya. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah AZIZAH sYED Zain pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal pada 14 dan 24 September. – UTUSAN

Scroll to Top