Hang-seo dalam radar FAM latih Harimau Malaya

Hang-seo dalam radar FAM latih Harimau Malaya

firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Rentak K-Pop nampaknya tetap menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meneruskan momentum cemerlang ketika di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan salah seorang jurulatih dari Korea Selatan iaitu Park Hang-seo turut berada dalam senarai badan induk itu.

Jelas Hamidin, buat masa ini FAM menyerahkan tugas melatih skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pau Marti Vicente dengan melihat kemampuannya sehingga hujung tahun ini.

Namun, katanya, pihaknya tetap membuat ‘kerja rumah’ dengan mencari calon baharu dengan Hang-seo antara calon itu.

“Park Hang-seo ada (dalam radar),” kata Hamidin dalam sidang media khas di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Ujar Hamidin lagi, beliau mahu yang terbaik buat skuad kebangsaan dan berharap ranking negara akan terus melonjak.

“Saya nakkan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan,” kata Hamidin.

Dengan pengakuan itu, Hang-seo dilihat calon terbaik untuk memastikan prestasi pasukan negara terus meningkat.

Hang-seo sebelum ini berjaya mengubah bola sepak Vietnam dengan membawa pasukan itu muncul sebagai kuasa terkuat di Asia Tenggara beberapa tahun lalu.

Malah, beliau turut meletakkan skuad Naga Emas itu menduduki ranking 100 dunia ke atas sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top