mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain tengah Harimau Malaya, Endrick Dos Santos tetap berada dalam keadaan terbaik walaupun baru saja turun padang bersama kelab baharunya di Liga Vietnam, Ho Chi Minh City.
Berdasarkan kepada situasi semasa, prestasi naturalisasi negara itu berada pada tahap optimum selepas dia meledak dua gol pada aksi persahabatan menentang Quy Nhon Binh Dinh, Isnin lalu sebelum memulakan kem latihan pusat bersama skuad kebangsaan, Khamis lalu.
Liga Vietnam hanya akan membuka tirainya pertengahan bulan depan dengan Ho Chi Minh City akan membuka kempen mereka berdepan Viettel di laman sendiri.
Malah, intensiti latihan dan permainan ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini turut membantu dia untuk terus berada dalam keadaan bersedia dan mampu memberikan aksi 100 peratus untuk pasukan kebangsaan.
“Saya tidak rasa tiada aksi kompetitif akan menjejaskan pestasi saya kerana saya beraksi dalam perlawanan persahabatan sebelum ini. Liga di Vietnam juga kuat dan ini sudah pasti akan membantu prestasi saya selepas ini.
“Selain itu, saya mengharungi sesi latihan dengan intensiti tinggi di JDT dan saya rasa saya tidak akan ada masalah dengan prestasi saya,” kata pemain berusia 29 tahun itu
Dalam perkembangan sama, pemain berasal dari Brazil itu juga mengakui tidak banyak perubahan dalam sesi latihan kendalian jurulatih baharu, Pau Marti Vicente dengan pengendali sebelum ini, Kim Pan-gon.
“Idea yang hampir sama dan kita mengikuti semua arahan daripada barisan kejurulatihan. Jadi saya rasa kita tidak akan berdepan kesukaran untuk membentuk persefahaman dengan jurulatih baharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




