KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihat untuk menutup institusi pendidikan vernakular sekiranya sistem pengurusannya terus menolak pelaksanaan silibus Bahasa Melayu di sekolah.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, penolakan itu sama seperti meminggirkan bahasa dan masyarakat Melayu.
Katanya, kerajaan juga perlu tegas dalam membuat tindakan terutama melibatkan perpaduan negara.
“Sekolah yang menentang segala usaha kerajaan dalam memperkasa bahasa Melayu dan perpaduan, rasanya tidak perlu wujud di dalam negara ini.
“Isu ini perlu ditangani, jadi jika perlu, kita tutup,” katanya ketika sidang media Isu Sembilan Institusi Pendidikan Cina Tolak Penyelarasan Silibus Bahasa Melayu Sekolah Rendah Vernakular, di sini hari ini.
Pada 27 Ogos lalu, media melaporkan sembilan institusi pendidikan Cina sebulat suara menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.
Menurut laporan itu, penolakan itu adalah kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukanlah bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, Syed Hassan berkata, tindakan seperti menarik semula bantuan kepada sekolah vernakular juga diperlukan bagi yang menolak bahasa rasmi negara itu.
Katanya, KPM harus menilai semula sekolah dan institusi yang terus membantah pelaksanaan dasar memperkasa bahasa Melayu.
“Tarik balik segala keistimewaan yang diberikan seperti bantuan pembangunan, bantuan duit secara tahunan dan kemudahan kerajaan yang ada.
“KPM sewajarnya menilai semula sekolah-sekolah yang terus membantah ini,” katanya.




