Mahkamah benar Abdul Hamid dapatkan sementara pasportnya

Mahkamah benar Abdul Hamid dapatkan sementara pasportnya

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan sementara pasportnya.

Abdul Hamid memohon dokumen perjalanan itu bagi membolehkan beliau menghantar anaknya melanjutkan pelajaran dan lawatan kerja di United Kingdom (UK).

Beliau sedang berdepan tuduhan menawarkan rasuah RM7.5 juta kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Pada prosiding hari ini, Hakim Suzana Hussin membenarkan pelepasan sementara pasport Abdul Hamid Shaikh bermula hari ini, dan ia tidak dibantah pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Dr Ifa Sirrhu Samsudin.

Terdahulu, peguam Weera memohon pasport itu diserahkan kepada anak guamnya hari ini kerana Abdul Hamid Shaikh perlu menghantar anaknya melanjutkan pelajaran dan lawatan kerja di UK pada 10 September hingga 15 November ini.

Abdul Hamid Shaikh didakwa pada 5 April tahun lalu, dengan tuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Annuar menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60.

Ia sebagai dorongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top