Caroline pilih tinggal dunia tenis seketika

Caroline pilih tinggal dunia tenis seketika

Paris: Caroline Garcia memilih menamatkan musim Jelajah WTA semalam kerana masalah bahu serta keletihan akibat “kegelisahan” dan “serangan panik.”

Pemain Perancis berusia 30 tahun itu yang kini berada di kedudukan ke-36 dunia, tidak berjaya melangkah lebih jauh dari pusingan kedua di mana-mana kejohanan Grand Slam musim ini.

Dalam satu status panjang di media sosial X, Garcia menyatakan bahawa dia memaksa bahunya “hingga ke had” dan memerlukan lebih banyak masa untuk sembuh dengan baik.

Dari segi mental, Garcia berkata dia perlu “set semula.”

“Saya perlu menjauhkan diri tekanan yang berterusan dalam tenis, mengambil cuti sebenar, berhubung semula dengan keluarga dan orang tersayang dan membenarkan diri saya bernafas tanpa tekanan prestasi,” tulisnya.

Daripada memberi tumpuan kepada pencapaiannya, termasuk 11 gelaran WTA dalam kategori perseorangan dan dua gelaran dalam kategori beregu di Terbuka Perancis (2016, 2022), Garcia menyatakan bahawa pemikirannya yang “toksik” terperangkap pada perkara yang belum dicapainya.

“Saya tidak pernah mencapai ranking nombor satu tidak pernah memenangi Slam, tidak pernah sampai ke podium Olimpik,” tulis Garcia pernah berada di kedudukan tertinggi dalam kariernya di ranking keempat dalam perseorangan pada September 2018.

“Saya tidak konsisten, tidak dapat kekal dalam 10 terbaik selama setahun penuh.

“Saya keletihan dari kebimbangan, serangan panik, dan tangisan sebelum perlawanan. Penat kerana terlepas saat-saat bersama keluarga dan tidak pernah mempunyai tempat yang benar-benar saya panggil rumah.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top