QC bertukar kerjaya, urus orang mati

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meninggalkan kerjaya stabil sebagai pemeriksa kawalan kualiti (QC) di Singapura demi menyertai skuad menguruskan ‘orang mati’.

Itu keputusan berani diambil Won Chia Yee, 29, yang nekad beralih arah kepada pekerjaan yang saban hari diselubungi bau kematian dan air mata.

Keputusan drastik wanita ini bergelar pembantu jurusolek mayat bertitik tolak daripada satu insiden peribadi yang meruntun jiwanya mengenai erti kepuasan mutlak dalam memberi penghormatan terakhir.

Mengimbau detik permulaan itu, Chia Yee berkata, segalanya bermula apabila dia melihat sendiri bagaimana perancang keranda, Aileen Ong menguruskan jenazah ibu kepada bekas teman lelakinya.

“Mendiang adalah warga Thailand. Walaupun diuruskan dalam keadaan tergesa-gesa, jasadnya disempurnakan dengan teliti sehingga rupa paras kecantikan asalnya kembali tenang, sekali gus memadamkan stigma seram bilik mayat.

“Apa yang paling mengubah hidup saya pada hari itu adalah pendekatan Aileen apabila dia tetap bertenang dan tidak menghalau kami keluar, sebaliknya memberi peluang untuk saya menyentuh serta menyolek sendiri jenazah itu,” katanya.

Pengalaman merasai sendiri ‘kesejukan’ jasad tidak bernyawa buat kali pertama itu membuahkan keinsafan dalam diri Chia Yee sebelum dia nekad menawarkan diri bekerja secara sambilan bagi menyelami perit jerih industri pengurusan mayat.

Namun, ujian sebenar yang merentap emosi dan menggetarkan tangannya tiba apabila dia dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah ibu saudaranya sendiri, tidak lama selepas itu.

“Luluh hati saya melihat jasad darah daging sendiri terbaring kaku, malah saya berdepan cabaran mental amat mendebarkan apabila perlu memasukkan tangan dalam-dalam bagi membersihkan dasar rongga kerongkong mendiang,” katanya.

Tahap profesionalisme wanita ini diuji apabila Aileen sengaja melepaskan tanggungjawab 100 peratus kepadanya sebagai tanda kepercayaan untuk dia menyempurnakan sendiri wajah ibu saudaranya itu.

“Meskipun ia halangan fizikal dan emosi paling sukar, saya gagahkan diri menolak tepi kesedihan peribadi demi memastikan kepulangan abadi ibu saudara berada pada tahap paling bersih dan suci,” katanya.

Berbekalkan sifat ketelitian asalnya sebagai bekas pemeriksa QC kilang, wanita ini kini menterjemahkan standard ‘sifar kecacatan’ itu ke dalam prosedur penjagaan mayat.

“Jika dahulu saya memantau kualiti produk, kini saya gunakan ketelitian sama ke atas jenazah bagi memastikan waris tidak menyimpan penyesalan ketika menatap wajah terakhir insan tersayang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top