51 letupan bom di Thailand: Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan

KOTA BHARU: Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Thailand susulan 51 kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di tiga daerah di Selatan Thailand, malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, nasihat berkenaan perlu diberi perhatian serius berikutan keadaan keselamatan di Selatan Thailand yang masih tidak menentu dan insiden keganasan dilaporkan berlaku hampir setiap hari.

Katanya, pendirian itu kekal seperti sebelum ini berdasarkan kenyataan Kementerian Luar.

“Kita tidak menghalang, cuma kita menasihati supaya berhati-hati masuk ke sana. Malam tadi saya bersama grup Ducati Malaysia (motosikal) yang tiba di Kelantan dan mahu masuk ke Thailand hari ini.

“Jadi, saya nasihatkan mereka untuk tidak masuk ke Hatyai sebab ada 51 kejadian (letupan) yang berlaku di Selatan Thailand malam tadi,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelupusan barang kes melibatkan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam, malam tadi.

Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff memberitahu, rakyat Malaysia yang memasuki Thailand turut perlu memberi perhatian kepada peningkatan operasi penguatkuasaan pihak berkuasa negara itu, khususnya membabitkan kesalahan trafik.

Katanya, pihak berkuasa Thailand akan mengambil tindakan terhadap kenderaan Malaysia yang didapati tidak mematuhi peraturan negara berkenaan.

“Pihak berkuasa mereka sedang mencari kes-kes, lepas itu kesalahan-kesalahan trafik terutamanya sekali. Mereka akan saman semua kenderaan daripada Malaysia yang tidak mematuhi peraturan negara mereka,” ujarnya.-UTUSAN

Scroll to Top