am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sikap mementingkan diri segelintir waris yang menyembunyikan sejarah penyakit berjangkit si mati semata-mata mahu mengelak caj pengurusan tinggi boleh mengundang ‘maut’ kepada petugas bilik mayat.
Ancaman itu menjadi asam garam perancang keranda persendirian, Aileen Ong dibantu jurusolek mayat, Chow Yi Rou, 22.
Berbekalkan latar belakang klinikal, Yi Rou turut menggalas tugas penting membimbing rakan pembantu lain mengenai tatacara pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang tepat serta teknik pergerakan mekanik badan bagi memusingkan kedudukan mayat.
Lebih mengejutkan, penipuan waris ini kebiasaannya hanya terbongkar apabila jenazah menunjukkan reaksi fizikal pelik termasuk lelehan nanah hijau dari hidung yang disyaki berpunca daripada jangkitan COVID-19, sekali gus memaksa Aileen memberi amaran keras kepada pihak keluarga.
“Kalau menipu, keluarga perlu panggil pegawai perubatan (MO) untuk pengesahan. Jika sah positif COVID-19, kami tidak akan sentuh kerana kesilapan kecil boleh menyebabkan semua kru dikuarantin tujuh hari,” katanya.
Aileen berkata, pasukannya turut terdedah risiko ketika menguruskan jenazah pesakit ‘Kaki Gajah’ (Elephantiasis) berikutan nanah tebal pada kulit mayat yang berisiko memancut, sekali gus mewajibkan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) penuh dan pelitup muka 3M.
Mengulas lanjut, pasukan berkenaan menjelaskan, tugas menguruskan jenazah yang mengalami komplikasi organ seperti hati dan pankreas akibat penyakit kuning (jaundice) turut menuntut ketelitian tinggi.
Bagi kes pesakit jaundice, kulit bukan saja bertukar kekuningan, malah tubuh cepat kering dan mengecut.
Pernah juga berlaku kes tragis mayat bertukar hijau sepenuhnya jika tidak diuruskan dengan cara betul.
“Sebagai contoh kes di Pontian, Johor, apabila mangsa ditemui mati oleh anaknya di sebuah bilik bersebelahan kedai runcit,” katanya.
Mengimbau kejadian itu, Aileen berkata, bau mayat reput lebih seminggu terbabit sangat tajam dan masam umpama telur busuk sehingga melekat pada setiap inci perabot di bilik itu.
“Keadaan ekstrem itu memaksa kami membakar lima colok kemenyan India bersaiz gergasi sebesar muka manusia bagi meneutralkan udara sebelum semburan minyak wangi dapat dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

