saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian skuad remaja negara untuk mara ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China, tidak kesampaian.
Ini kerana, pasukan tuan rumah yang juga juara 14 kali, nyata terlalu unggul apabila mudah menewaskan barisan pemain muda negara 110-76 pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang, hari ini.
Edisi kali ini menyaksikan pengenalan format baharu 10 perlawanan membabitkan dua pemain masing-masing dalam kategori perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Setiap perlawanan hanya akan bermain sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.
Pada perlawanan hari ini, hanya pemain perseorangan wanita negara, Ong Xin Yee memenangi perlawanan menewaskan Xu Wen Jing 11-10 manakala sembilan perlawanan lagi didominasi pemain tuan rumah.
Bagaimanapun, skuad remaja negara tetap pulang dengan pingat gangsa selepas kejayaan mara ke separuh akhir.
Skuad negara tewas 0-3 di tangan China di peringkat sama pada edisi tahun lalu di Washington, Amerika Syarikat (AS), sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Kali terakhir pasukan remaja negara merangkul gelaran dunia dalam acara berpasukan adalah pada 2011 di Taiwan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
