PERNIAGAAN di Malaysia perlu mewujudkan pekerjaan dengan gaji tinggi bagi mengelakkan fenomena ‘pemampatan gaji’ terus berlaku.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, reka bentuk dasar gaji minimum sepatutnya memberi kesan kepada jalur gaji untuk pekerja berkemahiran tinggi, tetapi ia sebaliknya berlaku di negara ini.
“Fenomena pemampatan gaji berlaku kerana kebanyakan syarikat dan perniagaan di Malaysia adalah industri mikro dan kecil. Apabila perlu membayar gaji minimum RM1,500, mereka sebenarnya tidak memiliki sumber cukup untuk meningkatkan gaji kepada tahap lebih tinggi.
“Jadi, apa yang dilakukan adalah mereka mematuhi undang-undang untuk membayar pekerja tahap permulaan dengan kemahiran paling rendah, tetapi mengurang atau membekukan gaji bagi pekerja berkemahiran yang berpengalaman.
“Justeru, cara terbaik adalah, kita perlu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi,” katanya berucap merasmikan Malaysia Semiconductor Recruitment Day 2024 di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Pemampatan gaji atau wage compression merujuk kepada situasi apabila perbezaan gaji antara pekerja menjadi semakin kecil.
Ia berlaku apabila gaji pekerja yang berkemahiran rendah kemasukan dinaikkan (seperti kenaikan gaji minimum), tetapi gaji pekerja yang lebih berkemahiran atau berpengalaman tidak meningkat pada kadar yang sama atau tidak dinaikkan langsung.
Dalam konteks Malaysia, pemampatan gaji mungkin terjadi apabila syarikat kecil dan sederhana terpaksa menaikkan gaji pekerja peringkat rendah untuk mematuhi peraturan gaji minimum, tetapi mereka tidak mampu menaikkan gaji pekerja yang lebih berpengalaman atau berkemahiran tinggi pada kadar yang sama.
Sementara itu, Rafizi berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera berikutan kredibiliti negara ini yang memainkan peranan besar dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Walaupun sukar memasuki sektor ini, permintaan untuk jurutera dalam bidang E&E termasuk semikonduktor terus berkembang. Anggaran awal menunjukkan kita memerlukan sekitar 60,000 jurutera.
“Itulah sebabnya jabatan kerajaan, agensi, sektor swasta dan universiti bekerjasama untuk memastikan kita dapat memenuhi keperluan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, semikonduktor menyumbang sekitar lapan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan nilai sekitar RM143 bilion setahun.
“Kita sering mendengar tentang minat terhadap Malaysia apabila ia membabitkan cip semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Walaupun ini adalah berita baik untuk dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, kedudukan ini tidak dijamin.
“Industri ini sangat kompetitif dan dinamik, dengan peningkatan strategi seperti de-risking dan China plus one yang mengubah landskap secara ketara. Kita faham bahawa kita perlu bergerak jauh daripada bergantung sepenuhnya kepada syarikat multinasional atau menjadi destinasi pembuatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
