am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Felda Sahabat, di sini, petang tadi.
Dua maut iaitu seorang kanak-kanak perempuan dan wanita dewasa yang berada dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback manakala seorang lagi membabitkan penunggang motosikal lelaki dewasa.
Dua yang parah adalah lelaki dan wanita dewasa dalam kereta Proton Iswara Aeroback.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan jenis Nissan Frontier, Proton Iswara Aeroback dan motosikal bertembung, jam 6.19 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian yang terletak 77 kilometer dari balai.
“Terdapat 13 mangsa terbabit. Empat mangsa dalam Proton Iswara Aeroback dikeluarkan oleh orang awam dan dua parah dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh ambulans bagi rawatan lanjut.
“Seorang lagi mangsa Proton Iswara Aeroback dan seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Sementara, seorang lagi penumpang Proton Iswara Aeroback meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, seramai lapan lagi individu yang berada di dalam kereta Nissan Frontier iaitu empat lelaki dan wanita dewasa serta tiga kanak-kanak cedera ringan.
Kesemuanya dihantar ke klinik sama oleh ambulans dan kenderaan awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud dan operasi ditamatkan pada 10.06 malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




