Ops Gasak Laut Khas lumpuhkan mobiliti jenayah rentas sempadan

Ops Gasak Laut Khas lumpuhkan mobiliti jenayah rentas sempadan

am@hmetro.com.my

Kudat: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melancarkan Operasi Gasak Laut (OGL) Khas secara besar besaran untuk melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan (JRS) selain membasmi lokasi ‘staging point’ elemen jenayah berkenaan.

Lokasi OGL kali ini dijalankan di perairan daerah ini di Kampung Sibogo Pondoh, Pulau Bankawan, pada 16 Oktober lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, seramai 228 individu dan 200 rumah serta premis diperiksa secara bersepadu oleh pihak berkuasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“OGL khas ini dilaksanakan bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan mengekang elemen JRS.

“Ia membabitkan penyeludupan kontraban dan barang kawalan serta kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, OGL khas ini menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran untuk melumpuhkan mobiliti kegiatan JRS selain membasmi lokasi staging point elemen JRS.

“Di samping itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen pencegahan, menjamin keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam kawasan perairan dan pesisir pantai daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu, ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah JRS terutama di ESSZONE bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat agenda Malaysia Madani dicapai.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah ESSZONE bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

“Masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top