Kerajaan bakal bina 'Linkage' RTS Link-KTMB Komuter bernilai RM60 juta

Johor Bahru: Kerajaan akan membina satu sambungan terus atau linkage antara RTS Link Bukit Chagar dan perkhidmatan KTMB Komuter yang melibatkan kos RM60 juta bagi memperkukuh integrasi pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan penumpang ke sistem transit itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek tambahan itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.

Beliau berkata sambungan berkenaan akan membolehkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB Komuter ke Stesen RTS Bukit Chagar menggunakan jejambat tanpa perlu membuat pusingan yang jauh melalui laluan sedia ada di JB Sentral.

“Apabila siap nanti, penumpang yang menggunakan KTM Komuter dan berhenti di stesen KTMB Komuter boleh terus sambung perjalanan ke Stesen RTS Bukit Chagar.

“Ini akan memudahkan ramai penumpang. Kita nak menggalakkan supaya pengguna RTS Link menggunakan pengangkutan awam untuk ke Bukit Chagar ataupun keluar daripada Bukit Chagar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke projek RTS Link di Bukit Chagar, di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top