Mexico City: Carlos Sainz dari Ferrari meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Mexico selepas bermula dari petak utama pagi tadi, manakala Max Verstappen dikenakan penalti 20 saat kerana dua kali memaksa pencabar gelaran, Lando Norris, terbabas keluar trek.
Dengan Verstappen hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam, Norris dari McLaren berjaya meraih tempat kedua, mengecilkan jurang dengan pemandu Red Bull itu kepada 47 mata ketika berbaki empat perlumbaan lagi.
Norris berjaya mengambil alih tempat kedua dari pelumba Ferrari, Charles Leclerc pada hujung perlumbaan, memberikan dorongan besar dalam usahanya untuk menghalang Verstappen daripada merangkul gelaran dunia keempat berturut-turut.
Verstappen terpaksa membayar harga yang tinggi di atas pemanduan agresifnya, dengan Norris mengulas: “Saya menghormati Max sebagai pemandu, tetapi pada pendapat saya, pemanduannya tidak begitu bersih.”
Ini adalah minggu kedua berturut-turut di mana kedua-dua pencabar gelaran ini bertembung, selepas Norris dikenakan penalti di GP Amerika Syarikat.
Prinsipal McLaren, Zak Brown, menggambarkan contoh terbaru sifat ganas Verstappen sebagai ‘tidak masuk akal’.
“Cukup-cukuplah. Mari kita lakukan perlumbaan yang bersih dan baik ke depan. Saya rasa para stewards mengambil tindakan, itu jelas berdasarkan penalti yang dikenakan. Mereka melakukan kerja yang baik minggu ini.”
Ditanya mengenai prospek gelaran pemandu, Norris berkata: “Saya hanya menumpukan perhatian, kami melakukan kerja yang baik sebagai sebuah pasukan, fokus pada diri sendiri, itu sahaja yang boleh saya lakukan buat masa ini.”
Kemenangan Sainz memberikan impak signifikan kepada kedudukan pengeluar, dengan Ferrari memintas Red Bull dan kini berada di tempat kedua di belakang McLaren.
Pemandu dari Sepanyol ini memastikan beliau meninggalkan Ferrari dengan penuh bermaruah apabila berpindah ke Williams musim depan bagi memberi laluan kepada juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton.
© New Straits Times Press (M) Bhd



