syafil.syzwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyanyi, Salma Asis enggan menjadikan kontroversi yang melanda penganjuran konsert A Night With Sumandak Stars sebagai isu memandangkan namanya juga kini sudah diumumkan sebagai ‘Sumandak’ kesembilan yang akan membuat persembahan.
Salma, 34, berkata, dia hanya menjalankan tugasnya dan menganggap tawaran itu sebagai rezeki. “Saya dimaklumkan untuk menjadi salah seorang penyanyi di konsert Sumandak Stars selepas Stacy menarik diri.
“Tetapi saya tak ambil tahu sangat mengenai isu itu. Saya tak masuk campur, kerana bagi saya, kalau ada rezeki yang datang saya ambil.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai penyanyi untuk melakukan persembahan. Soal kontroversi membabitkan konsert itu saya tak ambil peduli.
“Saya profesional, saya dibayar untuk bekerja. Saya lakukan tugas saya sebaiknya,” katanya kepada Harian Metro.
Salma ketika ditemui selepas konsert minggu kedua Famili Duo 4 berkata, dia juga teruja memandangkan bakal berkongsi pentas dengan rakan-rakan penyanyi dari negeri kelahirannya, Sabah.
“Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini kerana semua penyanyi berasal dari Sabah, kami semua orang Sabah. Tak sabar rasanya untuk beraksi di konsert itu,” katanya.
Selain Salma, konsert yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 30 November depan menampilkan barisan penyanyi kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah, Didi Astillah, Azharina dan Ayu Damit.
© New Straits Times Press (M) Bhd