Farid Kamil tetap fokus di lokasi penggambaran

Farid Kamil tetap fokus di lokasi penggambaran

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuang: Pengarah filem Bisikan Dosa, Faizul A Rashid memaklumkan pelakon utama filem itu, Farid Kamil bersikap profesional di lokasi penggambaran walaupun berdepan kemelut rumah tangga terbaru dengan isterinya, Diana Danielle.

Menurutnya, Farid yang melakonkan watak Ayden tetap tenang dan langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi ketika di lokasi.

“Farid sangat profesional dan tetap meneruskan penggambaran seperti biasa. Pada hari berita (perceraian) tersebar, dia ada di set penggambaran dan dia okay.

“Malah, sehari sebelum berita itu tersebar, dia ada bergelak ketawa di set. Itu satu perkara yang saya puji mengenai Farid, disiplinnya sangat baik dan profesional walaupun sedang berhadapan dengan masalah sendiri.

“Saya mengenali Farid sudah lama iaitu sebelum dia bergelar pelakon lagi. Sebelum ini kami ada keluar bermain golf bersama anaknya, Diana juga ada dan semuanya okay,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Bisikan Dosa di KDH Villa, di sini, hari ini.

Menurutnya, Farid juga teruja untuk menghabiskan penggambaran filem itu yang akan tamat dalam masa terdekat.

“Dia tak pernah nak minta tangguh penggambaran. Malah, setiap kali di lokasi dia sentiasa memberikan yang terbaik.

“Kita juga tidak boleh nak salahkan dia dalam situasi ini kerana setiap orang ada masalah sendiri,” katanya.

Kisah rumah tangga Farid kembali hangat diperkatakan apabila Diana mengumumkan menerusi Instagram kembali nekad untuk bercerai.

Difahamkan, Farid sibuk dengan penggambaran filem ini ketika Diana meluahkan perasaannya.

Terdahulu, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua anak iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top