30 rakyat Malaysia di penjara Narathiwat

30 rakyat Malaysia di penjara Narathiwat

am@hmetro.com.my

Narathiwat: Seramai 30 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman penjara di sini, yang kebanyakannya dijatuhi hukuman berkaitan penyalahgunaan dadah.

Jurucakap Penjara Narathiwat berkata, rakyat Malaysia berkenaan berasal dari beberapa negeri dengan kebanyakannya adalah dari Kelantan.

“Selain terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ada antara mereka yang dipenjara kerana terbabit dalam kesalahan lain seperti merompak dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, 30 rakyat Malaysia itu adalah antara 2,879 banduan yang kini ditahan di penjara itu.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah banduan yang ditempatkan di penjara itu melebihi kapasiti sebenar iaitu 2,400 orang.

“Penjara ini adalah penjara baharu dan lebih besar dari yang lama. Sebelum ini penjara ini terletak dalam bandar dan sekarang kami berpindah di luar kawasan bandar kira-kira empat tahun lalu.

“Kini kami mempunyai 2,879 banduan termasuk 480 wanita,” katanya.

Jurucakap itu berkata, banduan yang dihantar ke penjara Narathiwat dijatuhi hukuman penjara kurang 30 tahun.

“Mereka yang dihantar ke sini dianggap banduan yang melakukan ‘kesalahan kecil’. Mereka yang didapati bersalah kerana membunuh dan jenayah berat lain akan dihantar ke penjara sama ada di Yala atau Songkhla,” katanya.

Pada masa sama, jurucakap itu mengesahkan bahawa enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden yang popular adalah rakyat Malaysia terbaharu yang dihantar ke penjara itu pada Isnin lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top