Biarlah berpada dan sederhana

Dalam era media sosial hari ini, rutin penjagaan kulit bukan lagi sekadar pilihan, tetapi telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Dari remaja hingga dewasa, ramai yang semakin peka tentang kepentingan menjaga kulit, memahami bahan kosmetik dan mencari produk yang sesuai. Wanita kekal sebagai pengguna utama produk kosmetik, namun peningkatan minat dalam kalangan lelaki turut mencerminkan perubahan norma sosial terhadap amalan penjagaan diri dan penampilan. Kecenderungan amalan ini juga didorong golongan pengguna muda serta pengaruh media sosial yang semakin kuat.

Secara umumnya, perkembangan ini positif kerana ia menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap penjagaan diri termasuk kebersihan serta kesihatan.

Di sebalik kesedaran ini, muncul satu istilah baharu yang semakin mendapat perhatian iaitu cosmeticorexia. Istilah ini merujuk kepada kecenderungan obses terhadap penggunaan produk kecantikan dan rutin penjagaan kulit secara berlebihan sehingga melangkaui keperluan sebenar. Secara terminologi, istilah cosmetic merujuk kepada produk kecantikan termasuk kosmetik, juga rawatan estetik, manakala orexia berasal daripada bahasa Yunani orexis yang bermaksud keinginan, selera atau dorongan yang menggambarkan keinginan atau dorongan yang berlebihan.

Fenomena ini semakin ketara di barat dan Amerika Latin apabila kanak-kanak seawal usia 10 tahun mula mengikuti rutin penjagaan kulit yang kompleks, dipengaruhi media sosial seperti TikTok serta peranan influencer. Rutin asas penjagaan kulit yang dahulunya hanya melibatkan langkah mudah seperti membersih, melembap dan melindungi kini berubah menjadi satu bentuk tekanan sosial. Keadaan ini membimbangkan kerana pada peringkat usia tersebut, kanak-kanak dan remaja sepatutnya memberi tumpuan kepada perkembangan kognitif, sosial dan emosi, bukan terikat dengan standard kecantikan yang tidak realistik serta terikat dengan rutin kecantikan yang kompleks.

Di Malaysia, walaupun istilah cosmeticorexia belum digunakan secara meluas, tanda-tandanya semakin jelas. Peningkatan penggunaan produk penjagaan kulit dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menunjukkan sedang berkembang secaara perlahan. Penggunaan produk pada usia awal boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan kulit kerana kulit masih sensitif terhadap bahan kimia. Penggunaan kosmetik serta bahan tertentu secara tidak terkawal boleh menyebabkan iritasi seperti kemerahan, pedih dan kekeringan dan dalam kes tertentu membawa kepada dermatitis (irritant contact dermatitis) atau radang kulit.

Selain itu, tekanan terhadap standard kulit sempurna di media sosial turut meningkatkan kecenderungan perbandingan sosial, yang akhirnya boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi serta keyakinan diri remaja. Jika tidak ditangani, keadaan ini berpotensi membentuk generasi yang rapuh dari segi keyakinan diri dan hubungan sosial.

Situasi ini menuntut kepada peningkatan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat. Pengguna perlu dididik untuk memahami bahan kosmetik, menilai keperluan sebenar serta membuat keputusan yang lebih bijak dalam pemilihan produk. Setiap individu mempunyai keperluan kulit yang berbeza, justeru penggunaan produk tidak seharusnya dipandu semata-mata oleh trend atau tekanan sosial. Dalam masa sama, keupayaan untuk menilai maklumat dan menolak pengaruh pemasaran digital yang berlebihan amat penting dalam membentuk pengguna yang lebih bertanggungjawab.

Walaupun industri kecantikan dan penjagaan diri terus berkembang pesat, cabaran seperti penjualan produk tidak berdaftar, penggunaan bahan terlarang serta tuntutan pemasaran atau produk overclaim yang mengelirukan masih wujud.

Selain produk, perkhidmatan kecantikan juga semakin berkembang dengan integrasi teknologi seperti rawatan laser, suntikan estetik, microneedling dan prosedur invasif minima. Perkembangan ini menjadikan kecantikan lebih mudah diakses pelbagai lapisan masyarakat.

Walaupun banyak rawatan adalah selamat jika dilakukan oleh pengamal bertauliah, kewujudan pusat tidak berlesen dan rawatan tanpa pengawasan profesional tetap menjadi isu.

Dalam keadaan ini, keinginan untuk hasil segera boleh mendorong individu membuat keputusan tanpa maklumat mencukupi, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan dan beban kewangan. Hal ini menuntut peranan aktif semua pihak, termasuk pengeluar, pengawal selia dan pengguna sendiri dalam memastikan keselamatan serta ketelusan maklumat produk.

Perlu ditegaskan minat terhadap penjagaan diri bukan sesuatu yang salah. Malah, ia selari dengan konsep kesejahteraan menyeluruh yang merangkumi fizikal, emosi dan keyakinan diri. Namun, masalah timbul apabila keinginan tersebut berubah menjadi tekanan dalaman yang berterusan. Akhirnya keadaan ini tidak membawa kebaikan dan kesejahteraan diri, sebaliknya tekanan berpanjangan yang memudaratkan diri.

Fenomena masa kini seperti FOMO (Fear of Missing Out) boleh menyebabkan individu merasa cemas jika tidak mengikuti trend tertentu atau bergantung kepada produk untuk keyakinan diri, sekali gus mewujudkan hubungan tidak seimbang dengan konsep kecantikan.

Secara umum semua manusia suka kepada kecantikan. Malah menjaga dan mengekalkan kecantikan diri bukanlah sesuatu yang dihalang oleh Islam, malah digalakkan sebagai sebahagian daripada penjagaan diri dan kebersihan. Namun, Islam menekankan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan. Kecantikan tidak boleh melampaui fitrah atau membawa kepada kemudaratan. Dalam berhias, terdapat batas yang perlu dipatuhi, iaitu tidak berlebihan, tidak mengandungi unsur penipuan dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk. Penjagaan diri seharusnya bertujuan memelihara kesejahteraan diri, bukan mengejar kesempurnaan yang tidak realistik.

Pada masa sama, Islam mengiktiraf nilai kecantikan sebagaimana hadis riwayat Muslim, dari Abdullah bin Mas’ud RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.” Namun, kecantikan tersebut perlu diurus dalam batas yang tidak melampaui fitrah atau membawa kepada perubahan ciptaan secara berlebihan (taghyir khalqillah). Justeru, pendekatan Islam bukan sekadar membenarkan atau melarang, tetapi membimbing agar penjagaan diri dilaksana secara seimbang, beretika dan berasaskan kemaslahatan, selari dengan tujuan syariah iaitu pemeliharaan kesejahteraan manusia secara menyeluruh.

Justeru, dalam mendepani fenomena cosmeticorexia yang semakin meluas, penting untuk kita membuat penilaian terhadap keperluan diri dan tujuan penggunaan kosmetik dalam rutin harian. Pastikan tujuan dan niat penggunaan kita untuk kesejahteraan diri meliputi keyakinan, penampilan dan kebersihan diri, tanpa melampui fitrah, keperluan mahupun usia sebenar.

Selain itu, hendaklah dipastikan penggunaan kosmetik dan penjagaan kecantikan bukan kerana rasa ketinggalan dengan tren semasa, mahupun keinginan untuk menunjuk-nunjuk atau merasa diri lebih cantik secara berlebihan. Tekanan psikologi, obsesi dan ketagihan terhadap rutin kecantikan yang tidak seimbang boleh menjejaskan kesejahteraan mental.

Islam melarang sebarang amalan yang membawa mudarat termasuk penggunaan kosmetik berlebihan atau bahan yang tidak sesuai sehingga menjejaskan kesihatan kulit. Pembaziran dalam mengejar kecantikan juga satu bentuk kemudaratan yang sering diabaikan. Seharusnya kita mengambil pengajaran daripada Surah al-A’raf ayat 31 yang menyeru manusia supaya berhias dengan baik (menutup aurat dan menjaga penampilan) ketika ke masjid, makan dan minum, tetapi tidak berlebihan kerana Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.

Justeru, dalam mendepani fenomena cosmeticorexia, pendekatan terbaik bukan menolak perkembangan industri kecantikan, tetapi memperkukuh kefahaman diri dan tujuan penggunaan kosmetik. Masyarakat perlu kembali kepada matlamat asal penjagaan diri, iaitu menjaga kebersihan, kesihatan dan keyakinan diri secara sederhana. Fenomena ini mengingatkan kita usaha memperbaiki diri perlu berjalan seiring dengan penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan penerimaan diri. Penilaian terhadap keperluan sebenar, pemahaman terhadap bahan kosmetik serta keupayaan menolak tekanan sosial adalah kunci dalam memastikan kesejahteraan diri terus terpelihara dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh budaya kecantikan digital.

Penulis Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top