Budaya kerja adalah cerminan nilai, disiplin dan sikap dalam sesebuah organisasi. Namun, budaya kerja boleh tercemar apabila wujud sikap negatif seperti sambil lewa, politik pejabat atau hilang integriti.
Menyucikan budaya kerja bermaksud membersihkan sikap negatif dan menggantikan dengan nilai murni yang mengangkat maruah organisasi.
Langkah menyucikan budaya kerja boleh bermula dengan kembali kepada integriti apabila setiap tugasan mesti dilaksanakan dengan jujur dan telus.
Pada masa sama, disiplin perlu dijadikan sebagai asas dengan pematuhan masa, peratuan dan prosedur operasi standard (SOP) tanpa kompromi.
Ia turut membabitkan komunikasi yang ikhlas seperti elakkan gosip, fitnah atau komunikasi berlapis.
Kerjasama tulen turut perlu dipupuk apabila pasukan mesti bergerak bersama, bukan bersaing secara tidak sihat.
Usaha setiap pekerja perlu dihargai, apabila setiap sumbangan, kecil atau besar mesti diiktiraf.
Paling penting, amalkan kepimpinan teladan kerana pemimpin mesti menunjukkan contoh melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.
Misalnya, dalam sesebuah organisasi, seorang ketua jabatan yang menekankan integriti akan memastikan setiap laporan dibuat dengan telus tanpa manipulasi angka.
Manakala, pasukan barisan hadapan yang berdisiplin akan menjaga imej organisasi, menjadikan masyarakat lebih percaya.
Justeru, budaya menghargai akan melahirkan semangat kerja yang tinggi kerana anggota merasa usaha mereka diiktiraf.
Jelas, menyucikan budaya kerja bukan sekadar slogan, tetapi satu proses berterusan.
Ia memerlukan keberanian untuk membuang sikap lama yang merosakkan dan menggantikan dengan nilai baru yang membina.
Budaya kerja yang suci melahirkan organisasi yang dihormati kerana kejayaan bukan hanya pada hasil, tetapi pada cara ia dicapai.
Kesimpulannya, menyucikan budaya kerja adalah amanah setiap anggota organisasi.
Apabila integriti, disiplin dan teladan dijadikan asas, maka organisasi bukan sahaja berjaya, tetapi turut dihormati dan dipercayai masyarakat.
Teladan pemimpin turut memainkan peranan penting menerusi kepimpinan melalui perbuatan.
Pemimpin sejati tidak hanya memimpin dengan arahan, tetapi dengan teladan.
Tindakan kecil yang konsisten lebih berkesan daripada ucapan panjang yang kosong.
Bila pemimpin menunjukkan disiplin, integriti dan keberanian, pasukan akan meniru dan menjadikan nilai itu sebagai budaya kerja.
Prinsip teladan pemimpin harus bermula dengan disiplin diri apabila pemimpin yang menepati masa dan peraturan memberi mesej jelas bahawa disiplin adalah asas kejayaan.
Ia turut berkaitan dengan integriti tanpa kompromi kerana kejujuran dalam keputusan menjadikan pasukan percaya dan setia.
Pada masa sama, pemimpin harus berani membuat keputusan sukar kerana keberanian dalam tindakan memberi inspirasi kepada pasukan untuk tidak gentar menghadapi cabaran.
Harus diingat, pemimpin turut perlu memiliki kerendahan hati apabila pemimpin yang turun padang bersama anggota menunjukkan bahawa kepimpinan bukan tentang kedudukan, tetapi tentang tanggungjawab.
Teladan hanya berkesan jika dilakukan berulang kali, bukan sekali-sekala. Contoh nyata, Gandhi memimpin dengan tindakan kecil iaitu berjalan kaki, berpuasa yang memberi inspirasi besar kepada jutaan orang.
Dalam organisasi moden, seorang ketua yang sanggup bersama anggota ketika operasi sukar menunjukkan komitmen lebih kuat daripada ucapan motivasi.
Teladan pemimpin adalah cahaya yang membimbing pasukan. Ia bukan sekadar arahan, tetapi bukti nyata bahawa kepimpinan adalah tanggungjawab moral.
Jelas, orang lebih percaya pada apa yang kita lakukan daripada apa yang kita katakan.
Kesimpulannya, pemimpin berkarisma tahu bahawa teladan adalah senjata paling ampuh dalam kepimpinan.
Apabila pemimpin menunjukkan disiplin, integriti dan keberanian melalui tindakan, pasukan akan mengikutinya dengan penuh keyakinan.
Justeru, langkah menyucikan budaya kerja adalah perlu bagi sesebuah organisasi untuk mencapai objektif.
Meskipun ada sebilangan pekerja yang selalu membuat onar dan sebagainya, pemimpin atau ketua dalam sesebuah organisasi perlu melakukan sesuatu untuk menyucikan budaya kerja demi mencapai objektif sesebuah organisasi itu.
Pada masa sama, pemimpin turut perlu membuat teladan yang baik bagi pekerja bawahannya kerana jika pemimpin itu sendiri dalam keadaan bengkang-bengkok, bagaimana pekerja mahu menjadi sebegitu lurus. Fikirkanlah.
Penulis Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Seri Alam, Johor
© New Straits Times Press (M) Bhd
