24 jam pintu rumah ditutup

24 jam pintu rumah ditutup

am@hmetro.com.my

Tasek Gelugor: Tutup pintu rumah 24 jam dan buka hanya perlu. Itu situasi dihadapi penduduk Taman Tasek Gelugor Utama di sini dan beberapa taman perumahan sekitarnya bagi mengelak bau tidak menyenangkan dari parit berhampiran kediaman mereka.

Perkara ini bukan baru, sebaliknya penduduk mendakwa sudah setahun mereka terpaksa berdepan bau meloyakan.

Ia dipercayai susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan najis ternakan babi dari ladang di Kampung Selamat ke dalam Sungai Kereh.

Air tercemar itu kemudian mengalir ke kawasan parit beberapa taman perumahan sekitar Tasek Gelugor.

Seorang juruteknik Mohamad Syafiq Husain, 29, berkata isu pencemaran bau yang dibangkitkan penduduk sekitar kawasan Tasek Gelugor wujud sebelum taman perumahan itu wujud, namun sehingga kini masih tiada penyelesaiannya.

“Saya memang ada terbaca banyak berita mengenai pencemaran bau disebabkan oleh najis ternakan babi yang dilepaskan di Sungai Kereh hingga mencemarkan alam sekitar dan kawasan itu jauh dari taman perumahan ini.

“Taman perumahan ini pula masih baharu dan rata-ratanya mendiami rumah di sini sejak setahun lalu termasuk saya. “Saya dan isteri membeli rumah di taman ini kerana mendapati ia jauh dari ladang ternakan babi, rupanya sangkaan kami meleset apabila masalah ini turut menghantui kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Katanya, masalah bau kurang menyenangkan banyak disuarakan komuniti taman berkenaan dan kini mereka mengambil langkah menutup pintu rumah termasuk memasang sistem pengudaraan bagi mengurangkan rasa mual.

“Apa boleh buat kami sudah beli rumah di sini, jadi terpaksa hadap situasi ini.

“Bau kurang menyenangkan ini lebih teruk ketika hujan, selain pada waktu malam,” katanya yang memaklumkan kawasan di hadapan taman perumahannya terutama deretan rumah kedai turut berdepan situasi sama.

Menurutnya, rakan-rakan yang bertandang di rumahnya juga turut menyedari kehadiran bau kurang enak itu dan tidak sanggup duduk terlalu lama.

Bagi penduduk, Nurul Asyikin Mohamad,30, berkata meskipun masih baharu tinggal di taman berkenaan dia berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan untuk mengurangkan pencemaran bau dekat situ demi kesejahteraan penduduk.

“Rumah saya agak jauh dari kawasan parit tetapi tetap ada juga bau. Memang bau ini banyak datang pada waktu-waktu tertentu tetapi tetap rasa loya dan mual.

“Masalah ini bukan hanya dihadapi penduduk taman ini bahkan taman perumahan di sekitar, jadi kami amat berharap masalah inim dapat diatasi segera,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top