Tersenarai Dalam Malaysian Book Of Records, ‘Bekpes Hot Berjaya Tawan Puncak Kinabalu’

Tersenarai Dalam Malaysian Book Of Records, ‘Bekpes Hot Berjaya Tawan Puncak Kinabalu’

Setelah mengekalkan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia, radio Hot FM kini melakar sejarah baharu dengan kejayaan bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen “Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu” pada 14 dan 15 November 2024.

Ekspedisi yang disertai oleh penyampai popular,  KJ, Johan, Fara, dan AG dan beberapa rakan ekspedisi termasuk Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobind), pendaki termuda Asia Tenggara di Gunung Everest, Doktor Hazwan Khair, Ketua Perubatan Sukan Selangor FC selaku pegawai perubatan yang memantau serta penasihat kesihatan untuk ekspedisi ini bersama Rozlinawaty (Ozlynn Waty), serta kru Hot FM.

 

Memulakan pendakian dari Timpohon Gate di Taman Kinabalu pada 14 November 2024, jam 8.30 pagi, perjalanan terhenti  di Panalaban Base Camp pada iaitu pada ketinggian 3,272 meter dari aras laut sekitar jam 6.58 petang. Kumpulan pendakian kemudian berehat sebelum menyambung perjalanan ke puncak Gunung Kinabalu pada jam 3 pagi, pada 15 November 2024.

Bekpes Hot dan kumpulan pendakian kemudian tiba di puncak setinggi 4,095.2 meter dari aras laut. Sementara itu, Fara Fauzana tidak meneruskan perjalanan bersama rakan-rakan lain ke puncak Gunung Kinabalu disebabkan faktor kesihatan.

Fara Fauzana kemudian memulakan perjalanan menuruni Gunung Kinabalu pada jam 8 pagi ditemani oleh pemandu arah dan sampai ke Timpohon Gate di Taman Kinabalu sekitar jam 2.40 petang. Manakala KJ, Johan dan AG berjaya menuruni Gunung Kinabalu juga pada hari yang sama.

 

Kesungguhan yang ditunjukkan barisan penyampai radio popular ini akhirnya membuahkan hasil apabila dianugerahkan sijil Malaysia Book of Records atas kejayaan mencatat rekod baharu bagi kategori ‘Siaran Radio Tanpa Henti Terpanjang di Gunung Kinabalu’.

Sijil penganugerahan ini disampaikan oleh wakil Malaysia Book of Records, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah, yang turut mendaki bersama mereka untuk merakam detik bersejarah ini di Panalaban Base Camp sebelum meneruskan perjalanan untuk meneruni Gunung Kinabalu.

Dalam pada itu, Pengarah Kandungan Kanan Hot FM, Raja Khairil Idris Raja Aznan memaklumkan, ini adalah pencapaian yang amat membanggakan buat pasukannya.

Selain mempamerkan semangat juang yang tinggi, penyampai dan pasukan yang terlibat juga seakan seperti keluarga apabila saling memberi sokongan antara satu sama lain.

 “Kejayaan Bekpes Hot dalam mendaki puncak Kinabalu merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan. Semangat juang dan kekeluargaan KJ, Johan, dan AG dalam memberi sokongan kepada Fara Fauzana yang gigih tiba di Laban Rata walau menempuhi banyak cabaran adalah bukti setiakawan mereka.

“Inilah nilai yang dibawa oleh Hot FM. Sentiasa di sisi peminat dalam apa jua keadaan. Sebab itu, Hot FM kekal sebagai pilihan nombor satu rakyat Malaysia,” katanya.

 

Justeru, pencapaian bersejarah ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kerjasama rakan kolaborasi seperti Kopi SUPER™ sebagai Penaja Utama siaran luar, ANBOT sebagai Penaja Bersama siaran luar, Firefly sebagai Rakan Penerbangan, dan Amazing Borneo selaku Rakan Strategik yang menguruskan logistik dan hospitaliti keluarga Hot FM sepanjang kempen ini.

Tidak ketinggalan, Hot FM juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat dan rakan kolaborasi atas sokongan yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan misi ini.

Scroll to Top