Katil jadi rakit, selamatkan barangan daripada hanyut banjir

Katil jadi rakit, selamatkan barangan daripada hanyut banjir

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Bertahun menghadapi banjir dan menanggung banyak kerugian menyebabkan pasangan warga emas ini membina rakit di dalam rumah mereka di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.

Ia bagi menyelamatkan pelbagai barang dan perkakas rumah yang mudah rosak jika ditenggelami air.

Menurut Zainun Abdullah, 65, kediaman mereka terletak berhampiran sungai boleh ditenggelami air sehingga lima meter setiap kali musim tengkujuh.

Katanya, disebabkan itu dia dan suami, Mohd Sulong, 73, membina rakit di dalam rumah sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini, kami bina rumah rakit di luar untuk meletakkan barangan termasuk motosikal yang akan dipindahkan sebelum banjir, dan rakit itu perlu diangkat untuk diletakkan di dalam rumah.

“Namun, memandangkan suami kurang sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan saya tidak larat untuk angkut barang dari atas rumah ke rakit di luar, jadi timbul idea bina rakit di dalam rumah.

“Ada dua rakit dibuat, satu untuk meletak barangan berat seperti peti sejuk dan mesin basuh, manakala satu lagi untuk meletakkan barang dapur dan bahan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak, gula dan bahan masakan dan pakaian,” katanya.

Menurutnya, rakit itu berukuran 1.5 meter lebar dan 2.5 meter panjang dengan bahagian bawah diapungkan dengan sembilan tong plastik kecil yang dilekatkan dengan paku dan tali.

“Bagi mengelak ia hanyut, empat penjuru rakit diikat pada kayu bumbung rumah, manakala saya ubah suai katil dengan meletakkan enam tong plastik kecil yang diikat kemas pada bahagian bawah untuk meletakkan peti sejuk dan mesin basuh,” katanya.

Menurutnya, selain rakit, dia juga menggunakan pelampung tayar lori yang diikat pada kayu bumbung rumah untuk meletakkan barangan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top