am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Sewa bot bagi menghantar dadah menerusi laluan laut ke negara jiran, namun tindakan seorang lelaki warga Indonesia itu berjaya dipatahkan selepas dia ditahan polis di Teluk Bahang, di sini, semalam.
Dalam serbuan di sebuah jeti itu, polis turut merampas dadah jenis ganja, syabu dan MDMA bernilai RM217,424 yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan pada jam 8.30 pagi.
Katanya, polis turut merampas masing-masing enam ketulan disyaki ganja dan syabu serta dua paket dadah MDMA.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 18,000 penagih dadah.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah selain tiada rekod kesalahan lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, di sini, hari ini.
Sazalee berkata, suspek yang berasal dari Riau masuk ke Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 28 September lalu menggunakan dokumen sah.
Siasatan mendapati suspek datang ke Pulau Pinang dan menyewa bot yang dipandu individu lain dengan harga RM3,000 bagi membawa pulang dadah berkenaan ke Indonesia menerusi laluan laut.
“Suspek dipercayai baharu sahaja bergiat aktif dalam kegiatan itu dan ia adalah kali pertama dia menghantar bekalan dadah menerusi perairan.
“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengesan bekalan dadah yang diperoleh.
“Permohonan reman ke atas suspek dibuat selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




