New York: Seorang lelaki di Massachusetts Amerika Syarikat (AS) dituduh melakukan pembunuhan tanpa niat terhadap rakan sebiliknya kerana rakannya itu bersin berhampiran hidangan makan malam ayam belanda dimasaknya sempena hari kesyukuran atau Thanksgiving minggu lalu.
Richard Lombardi, 65, yang bertengkar dengan rakan sebiliknya, Frank Griswold, 80, turut memberitahu supaya tidak membasuh pinggan kerana bimbang bersin kronik dialami Griswold akan mencemari masakan ayam belanda berdekatan, menurut dokumen mahkamah yang diakses oleh WCVB .
Portal NDTV melaporkan, menurut versi rasmi yang diberikan kepada polis, Lombardi kembali ke dapur dan mendapati Griswold sedang membasuh pinggan berhampiran ayam belanda tanpa mempedulikan permintaannya.
Lombardi yang marah menolak Griswold ke tepi dan dia tersandung sebelum terhantuk dan tersungkur.
Lombardi menghubungi talian kecemasan 911 selepas Griswold tiada sebarang reaksi dan dibawa ke Hospital South Shore sebelum disahkan meninggal dunia.
Lombardi didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Plymouth minggu lalu di mana dia mengaku tidak bersalah.
“Kedengarannya seperti kemalangan berdasarkan bukti yang didedahkan di mahkamah,” kata peguam lantikan awam Lombardi, Marshall Johnson.
Menurut laporan di NY Post, kedua-dua Lombardi dan Griswold telah berkawan sejak awal 1990-an, ketika mereka bekerja bersama di Agensi Pengurusan Sungai Charles.
Mereka menjadi rakan sebilik pada tahun 2001 dan menurut tuan rumah, mereka tidak pernah bertengkar.
Biarpun Lombardi bukanlah penjaga Griswold namun dia sering membantu rakan sebiliknya termasuk penyediaan makan malam, urusan bil dan sebagainya.
Lombardi kini ditahan tanpa jaminan dan perlu hadir di mahkamah pada Rabu 4 Disember ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




