Almaty: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, secara terbuka mengkritik prestasi penyerang Timo Werner selepas menggantikannya pada rehat separuh masa dalam keputusan seri 1-1 menentang Rangers dalam saingan Liga Europa pada Khamis.
“Dia langsung tidak bermain pada tahap yang sepatutnya,” kata Postecoglou kepada wartawan.
“Prestasi Timo di separuh masa pertama tidak boleh diterima.
“Saya beritahu Timo bahawa dia adalah pemain antarabangsa Jerman, dan saya perlukan semua pemain memberikan yang terbaik. Prestasi ini bukan contoh yang boleh diterima.”
Postecoglou menggantikan Werner dengan Dejan Kulusevski, yang akhirnya menjaringkan gol penyamaan Spurs selepas Rangers terlebih dahulu mendahului menerusi Hamza Igamane.
Pasukan tuan rumah mempamerkan aksi lebih baik sepanjang permainan di Stadium Ibrox.
Walaupun berjaya mengelak kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu, pengurus dari Australia itu tetap tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya.
“Saya menjangka lebih banyak daripada pemain senior, tetapi kami jelas tidak berada pada tahap terbaik. Secara adilnya, kami berada dalam tempoh sukar sekarang dengan jadual perlawanan yang padat. Tetapi dalam konteks kedudukan kami di Eropah dan kecederaan pemain utama, satu mata ini tetap penting,” jelas Postecoglou.
Spurs kini berada di tangga kesembilan Liga Europa dan perlu menamatkan saingan dalam lapan pasukan teratas untuk mara secara automatik ke pusingan kalah mati.
“Rangers sukar untuk dihadapi, terutama di Ibrox pada malam saingan Eropah,” katanya.
“Dengan suasana pertandingan dan atmosfera stadium, tidak banyak pasukan yang boleh menang di sini, jadi anda tahu ia akan menjadi perlawanan sengit.
“Apabila mereka menjaringkan gol sejurus selepas rehat, tenaga mereka meningkat dan situasi menjadi lebih sukar untuk kami bangkit. Tapi saya rasa kami berjaya kembali ke dalam perlawanan dengan baik.
“Saya fikir pemain gantian memberikan perbezaan, kami menjaringkan gol yang baik, mencipta beberapa peluang lagi, dan Fraser (Forster) melakukan penyelamatan hebat di penghujung perlawanan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




