am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Sebuah pusat penyembelihan ayam di Kampung Sungai Damar, Kuala Kubu Bharu, di sini, diarah tutup selama 14 hari selepas gagal mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan operasi.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, seramai lapan anggotanya menjalankan siasatan di lokasi itu semalam.
“Pemeriksaan keseluruhan kawasan penyembelihan ayam tidak berada dalam keadaan yang bersih, efluen kumbahan masuk ke salur pembentung kumbahan dan baru mengalir ke anak sungai.
“Pemeriksaan juga mendapati bekalan ayam yang disembelih akan dihantar ke pasar awam Kuala Kubu Bharu dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MPHS,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
MPHS berkata, pihaknya kemudian mengarahkan pemilik premis membuat permohonan lesen perniagaan yang sah.
Selain itu, pemilik juga perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bagi pengesahan kolam takungan dan buangan efluen supaya memenuhi piawaian ditetapkan.
“Notis Perintah Penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 62 (1) UUK Establisymen Makanan MPHS 2007 kepada pusat penyembelihan terbabit selama 14 hari bermula semalam hingga 26 Disember ini.
“Jabatan Penguatkuasaan pula mengarahkan pemilik premis menghentikan operasi perniagaan serta merta sehingga mendapat pengesahan kelulusan dari MPHS,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




