PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan ketibaan kira-kira 17.5 juta pelancong setakat Mei lalu, sekali gus menunjukkan prestasi sektor pelancongan negara berada pada landasan betul dan menepati perancangan awal.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, bersandarkan perkembangan positif itu, kementerian optimis sasaran kemasukan pelancong yang ditetapkan itu mampu dicapai meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan global.
Bagi mengekalkan momentum tersebut, beliau berkata kementerian akan terus memperhebat aktiviti promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Pada masa sama, pejabat Tourism Malaysia di luar negara akan digerakkan secara agresif untuk mengadakan promosi bersama pemegang taruh tempatan, agensi pelancongan, pengamal media serta pempengaruh (KOL) di negara berkaitan untuk menarik mereka untuk datang ke sini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Visit Malaysia 2026 di sini hari ini.
Kerajaan menetapkan sasaran 47 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan RM329 bilion sempena TMM 2026.
Mengulas lanjut mengenai strategi promosi, Choon Man menjelaskan, kementerian turut melaksanakan jalinan kerjasama strategik bersama pihak swasta dan pelbagai jenama terkemuka.
Katanya, langkah itu membolehkan publisiti dan imej program TMM2026 dapat dipertingkatkan bagi menarik minat lebih ramai pelawat antarabangsa serta tempatan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebimbangan berhubung isu kenaikan tambang tiket penerbangan serta lonjakan harga bahan api, beliau berkata, pihaknya akan terus melipat gandakan usaha dengan menganjurkan pelbagai aktiviti dalam dan luar negara, serta bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan.
“Kita juga sentiasa bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan melalui beberapa inisiatif bagi memastikan lebih banyak penerbangan dapat dibawa masuk ke Malaysia. – UTUSAN




