Penyokong Ultras Malaya terkandas di Stadium Rajamangala

Penyokong Ultras Malaya terkandas di  Stadium Rajamangala

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 30 penyokong Ultras Malaya sangkut dalam Stadium Rajamangala di Bangkok sebaik aksi ketiga Kumpulan A Piala Asean antara Thailand dan Malaysia berakhir, malam tadi.

Penyokong tegar negara itu yang juga ‘pemain ke-12’ difahamkan terbabit dalam insiden pergaduhan kecil dengan penyokong Thailand.

Menurut salah seorang penyokong negara yang berada di sana ketika ini, penyokong tuan rumah melakukan provokasi kepada penyokong negara.

Bagaimanapun, situasi itu dapat dikawal apabila pihak berkuasa Thailand menutup pintu keluar bagi penyokong Malaysia dan diarahkan menunggu sehinhga keadaan di luar venue itu terkawal.

“Penyokong Thailand membuat provokasi kepada penyokong Malaysia. Lepas itu masing-masing buat provokasi.

“Penyokong kita tak dibenarkan keluar dari stadium sebab penyokong Thailand tunggu di luar. Jadi polis minta duduk dalam stadium sementara tunggu keadaan terkawal,” kata penyokong negara yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Wan.

Selain itu, di laman sosial turut tular beberapa video babitkan insiden itu.

Dalam perlawanan terbabit, skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente tewas tipis 0-1 menerusi jaringan Patrik Gustavsson di mini 57.

Gol tunggal perlawanan itu diraih hasil kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli apabila sepakan bebasnya terkena Suphanat Mueanta sebelum melorongkan bola ke Gustavsson yang mudah menolak masuk untuk jaringan tunggal aksi itu.

Ia adalah kekalahan pertama skuad negara selepas tiga perlawanan untuk menduduki tangga ketiga dengan empat mata selepas mengikat Kemboja 2-2 dan menewaskan Timor Leste 3-2.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat depan, yang mungkin menjadi aksi penentu hala tuju pasukan untuk mengintai peluang ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top