Selangor FC pertaruh pemain muda lawan Perak FC

Selangor FC pertaruh pemain muda lawan Perak FC

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Selangor FC sedia mempertaruhkan ‘ubi muda’ dalam aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, segala kemungkinan itu boleh berlaku dengan beberapa tonggak utama mengalami kecederaan selain ada yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Menurutnya, Selangor FC kehilangan sekurang-kurangnya tiga pemain iaitu penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz serta dua tonggak pertahanan, Harith Haiqal dan Khuzaimi Piee yang bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, Safuwan Baharudin memperkuatkan pasukan kebangsaan Singapura dengan semuanya beraksi dalam Piala Asean buat negara masing-masing.

“Kami perlu fokus kepada perlawanan bertemu Perak kerana itu adalah sasaran kami dan perlu melihat kepada keadaan pemain terlebih dahulu.

“Ini kerana jadual yang padat dan pada masa sama, ini kesempatan buat kami memberikan peluang kepada pemain muda untuk beraksi,” katanya.

Beliau mahu pemain yang diturunkan nanti memburu keputusan positif bagi dihadiahkan kepada penyokong Merah Kuning.

Malah, pengendali dari Jepun itu enggan berkongsi taktikal untuk menentang Perak FC itu nanti.

“Saya tidak boleh dedahkan sebarang strategi untuk perlawanan seterusnya, sebaliknya kekal fokus untuk berikan kegembiraan kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top